Jupha tagih sentuhan Beasley
KUALA LUMPUR - Pelumba remaja wanita Jupha Somnet memasang impian menjalani latihan bersama skuad elit berbasikal negara di bawah ketua jurulatih John Beasley di Melbourne.
Pelumba berusia 17 tahun itu berkata, ia adalah impiannya untuk berlatih bersama skuad elit negara yang telah meraih pelbagai kejayaan di persada antarabangsa.
''Sebagai pelumba pelapis, saya sedar hasrat itu mungkin tidak dapat menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini kerana masih perlu menimba pengalaman yang secukupnya,'' katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Jupha berkata, dia telah menetapkan sasaran masa tiga tahun untuk menyertai skuad elit negara serta beraksi di peringkat tertinggi.
Pelumba berketurunan Siam kelahiran Perlis itu merupakan atlet pelapis paling cemerlang apabila memenangi dua pingat perak dan dua pingat gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), minggu lepas.
Dua pingat perak disumbangkan olehnya dalam acara 500 meter ujian masa wanita dan pecut berpasukan bersama-sama Nurazimah Abd. Rashid manakala dalam acara scratch serta pecut individu beliau menyumbangkan pingat gangsa.
"Memang tidak sangka untuk memenangi pingat-pingat ini kerana ia merupakan penampilan pertama saya di ACC malah hanya menjalani latihan persediaan selama dua bulan.
"Selain bangga dengan kejayaan itu, saya juga menimba pengalaman berguna terutamanya dari segi taktik pelumba-pelumba lain," ujarnya.
Selain Jupha, skuad pelapis kebangsaan turut meraih empat lagi pingat gangsa melalui Nurazimah (perlumbaan mata wanita), Muhd. Affy Ghairant (keirin lelaki), Muhd. Fattah Amri Zaid (pecut individu lelaki) dan Muhd. Shariwan Md Shari, Amirul Anuar Jafri dan Muhd. Al Ghazali yang beraksi dalam acara kejar-mengejar berpasukan lelaki.
Mengulas mengenai pencapaian itu, jurulatih pasukan, Suod Hussin berkata, ia merupakan satu peningkatan yang dipamerkan oleh pelumba pelapis berbanding ACC tahun lepas di Indonesia yang memenangi satu perak dan tiga gangsa.
"Selepas ini pelumba-pelumba pelapis yang terpilih akan menyertai kejohanan trek Piala Asia pada Jun dan Kejohanan Trek Dunia pada Ogos," katanya. - Bernama
apa lagi...buat tid cari anak siam lagi woii kasi gegar negara
ReplyDelete